Tuesday 8 May 2012

2.5 Juta Rakyat Malaysia Berumur Lebih 25 Tahun Belum Kahwin, Tidak Pernah Berkahwin

Sekadar gambar hiasan

KUALA LUMPUR - Sekitar 2.5 juta rakyat Malaysia yang berusia lebih 25 tahun dan mewakili 16.7 peratus penduduk negara ini, masih belum atau tidak berkahwin.

Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Senator Heng Seai Kie berkata, berdasarkan Bancian Penduduk dan Perumahan Malaysia 2010, daripada jumlah itu 60.4 peratus adalah lelaki.

Bancian itu juga mendapati purata umur perkahwinan pertama bagi lelaki menurun kepada 28 tahun berbanding 28.6 pada tahun 2000, manakala bagi wanita pula meningkat kepada 25.7 berbanding 25.1 tahun, katanya menjawab soalan Senator Datuk Boon Som Inong.

Heng berkata Kajian Penduduk dan Keluarga Malaysia keempat pada 2004 yang dijalankan Lembaga Penduduk dan Pembangunan Negara, mendapati 32.1 peratus daripada responden tidak pernah berkahwin.

Daripada jumlah itu, 55.6 peratus adalah lelaki, katanya dipetik Bernama.

"Sebanyak 44.7 peratus daripada responden lelaki tidak berkahwin kerana masalah kewangan, tiada calon sesuai (19.3 peratus), kerjaya (12.8 peratus), komitmen keluarga (6.3 peratus) dan selebihnya sebab lain.

"Sebanyak 40 peratus wanita tidak berkahwin kerana tiada calon sesuai, masalah kewangan (14 peratus), kerjaya (8.4 peratus), selesa hidup membujang (8.4 peratus), komitmen keluarga (7.4 peratus) dan selebihnya sebab lain," katanya.

Heng berkata, kementerian tidak bercadang mewujudkan perkhidmatan pusat temu jodoh atau perkhidmatan temu jodoh secara dalam talian kerana perkhidmatan itu telah disediakan swasta, pertubuhan bukan kerajaan badan agama dan beberapa parti politik.

Namaberita.com

Tuesday 1 May 2012

Upah samseng ugut cikgu

 Sekadar gambar hiasan

PETALING JAYA: Seorang guru wanita yang mengajar di sebuah sekolah rendah jenis kebangsaan Cina di Damansara di sini, mendakwa hidup dalam trauma dan ketakutan selepas diganggu serta diugut sekumpulan samseng yang dipercayai diupah ibu bapa pelajar yang tidak berpuas hati mangsa mengajar di sekolah berkenaan.

Menurut sumber, guru berkenaan yang berusia 40 tahun menerima lima ugutan sejak 10 April lalu dan ugutan terbaru diterima ketika berada di tempat letak kereta rumahnya, jam 10 pagi, Sabtu lalu.

“Ketika kejadian itu, mangsa yang menuju keretanya dihampiri seorang lelaki tidak dikenali dan memarahinya kerana masih mengajar di sekolah itu walaupun beberapa kali diberi amaran supaya berpindah.

“Lelaki terbabit yang juga orang sama mengganggunya sebelum ini mengugut dengan mengeluarkan perkataan ‘esok akan mati jika kau berdegil’ dan berpindah dari sekolah berkenaan,” katanya, semalam.

Berikutan itu, mangsa membuat laporan di Balai Polis Damansara. Sumber berkata, sekumpulan samseng terbabit turut mengekori guru berkenaan ke mana saja mangsa pergi termasuk membuat gangguan di rumah pada waktu malam apabila pintu rumah diketuk berulang kali.

“Siri gangguan terhadap mangsa bermula selepas isu penggunaan bahasa Melayu di sekolah berkenaan ditimbulkan segelintir ibu bapa pelajar yang tidak sependapat dengan pentadbiran sekolah pada hujung tahun lalu.

“Mangsa yang mengajar subjek Bahasa Melayu menyediakan kertas ujian pelajar dalam bahasa itu dan tindakan itu menyebabkan ibu bapa pelajar terbabit tidak berpuas hati. “Mangsa yang tidak tahan dengan gangguan itu membuat laporan di Pejabat Pelajaran Daerah (PPD) Petaling Utama dan memohon untuk ditukarkan sekolah lain kerana bimbang berlaku perkara tidak diingini terhadapnya,” katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Arjunaidi Mohamed mengesahkan menerima laporan kejadian berkenaan.

Wednesday 25 April 2012

Faizal Tahir Kini Sudah Terbuka Dedahkan Keluarga

Jika sebelum ini penyanyi, Faizal Tahir sangat berkeras untuk tidak mendedahkan keluarganya tetapi kini tidak lagi selepas dia dan anak-anaknya muncul dalam sebuah kempen.

Kempen itu adalah kempen kesihatan mulut yang berlangsung sepanjang bulan April ini.

Bukan sengaja mahu melanggar prinsipnya sebelum ini, tetapi Faizal Tahir berkata dia bersetuju untuk mendedahkan keluarganya ke dalam kempen itu atas sebab yang kuat.

“Sebenarnya saya dan anak sahaja diambil sebagai model untuk mempromosikan kempen bulan kesihatan mulut.

“Saya menerima tawaran ini kerana bagi saya ianya sesuatu aktiviti dan amalan yang baik untuk anak saya dan masyarakat.

“Memang sebelum ini saya tidak akan membenarkan atau bersetuju untuk anak saya dikenali selain hanya saya sahaja sebagai penyanyi.

“Namun, kali ini berbeza kerana anak saya dikenali untuk menjayakan sesebuah kempen yang berfaedah begini.

“Walaubagaimanapun jika untuk tujuan publisiti kepada keluarga saya, mungkin ia tidak akan berlaku.

“Terus-terang saya akan menolak jika media mahu keluarga saya terlibat dalam penggambaran gambar untuk mana-mana surat khabar atau majalah,” katanya yang ditemui selepas sidang media Dutch Lady dan dia sebagai penyanyi lagu tema produk tersebut.

Anak-anak Faizal Tahir yang terlibat adalah Ahmad Mikael Zidane, 7, Siti Raudhah Nur Iman, 5, Ahmad Rifa’ie Zidane, 3, dan Siti Rawdha Nur Jannah, setahun.

Buat pertama kalinya tahun ke-9 kempen kesihatan mulut anjuran ubat gigi Colgate itu menampilkan selebriti sebagai strategi promosi.

Meksipun melibatkan hampir kesemua keluarganya, namun Faizal Tahir masih lagi tidak mahu mendedahkan isterinya dari dikenali umum seperti sebelum ini.

“Dalam kempen ini saya dan anak saya sahaja menjalankan penggambaran video promosi sebelum menjelangnya bulan kempen iaitu April.

“Isteri saya sahaja tidak terlibat dalam promosi kempen ini dan saya rasa sampai bila-bila pun tidak mungkin dia akan tampil ke depan.

“Lagipun, ini permintaan isteri saya juga yang tidak mahu dikenali dan terkenal sama seperti saya untuk menjaga privasi,” luahnya lagi.

Dalam perkembangan lain, Faizal yang akan muncul dalam perayaan Hari Susu Sedunia anjuran Dutch Lady pada 27 May ini bakal menyanyikan lagu khas ciptaanya dan Audi Mok berjudul Go Malaysia, Go! pada hari tersebut.

Selain itu, dia yang masih dalam proses menyiapkan album terbaru bakal muncul dengan album tersebut dalam dua bahagian atau volume. Album volume pertama dijangka akan muncul pada Jun ini.

“Dalam perancangan setiap volume akan keluar dengan 10 buah lagu.

“Saya kini baru selesai merakamkan 7 buah lagu untuk volume 1.

“Apa yang pasti album yang mengambil masa lebih dua tahun untuk dihasilkan ini akan menampilkan sesuatu yang sangat berbeza daripada diri saya sebelum ini,”tambahnya lagi yang dijangka muncul dengan album volume 2 pada penghujung tahun ini juga.

Credit to rindok

Sunday 22 April 2012

Pelajar dirogol 'Pak Guard' dalam kelas kosong


REMBAU – Seorang pengawal keselamatan dikesan rakan sejawatnya melakukan kegiatan tidak bermoral bersama ­seorang pelajar asrama di ­sebuah kelas kosong, di sini, 16 April lalu.

Sumber yang tidak mahu dikenali berkata, pada hari kejadian, suspek berusia 28 tahun dan dua lagi pengawal keselamatan seperti biasa meronda kawasan sekolah berkenaan dan salah seorang menyedari suspek tidak balik ke pos kawalan.

Menurutnya, risau dengan keadaan itu, mereka mencari suspek di kawasan sekolah itu dan terperanjat apabila menemui suspek di dalam kelas kosong kira-kira jam 6.15 petang bersama seorang pelajar perempuan tingkatan lima.

“Susulan penemuan berkenaan, pelajar perempuan itu yang juga tinggal di asrama sekolah berkenaan mendakwa telah dirogol suspek di kelas kosong berkenaan. Rakan sejawatnya yang terkejut bergegas menghubungi polis bagi tindakan selanjutnya.

“Manakala, pihak sekolah pula memaklumkan insiden memalukan ­itu kepada ibu pelajar perempuan itu dan membuat laporan polis pada hari sama kejadian itu,” katanya.

Sementara itu, Ketua Polis daerah, Deputi Superintendan Mizan Md Dom mengesahkan kejadian itu dan suspek kini ditahan ­reman dari 16 hingga 23 April ini.

Kes disiasat mengikut Seksyen 376, Kanun Keseksaan, jika sabit kesalahan boleh di­hukum penjara maksimum 30 tahun dan sebat.

Semak e-Penyata Gaji Baru SSM Mulai 20 April 2012

Berita gembira buat semua kakitangan awam, mulai 20 April 2012 anda sudah boleh menyemak e-Penyata Gaji Bulan April 2012 iaitu gaji baru SSM dengan kenaikan gaji sebanyak 13% sepertimana yang telah diumumkan oleh Perdana Menteri. Tarikh gaji bagi bulan April adalah pada 25 April 2012 (Rabu).

Berbelanjalah sederhana. Pesanan ringkas.
Terima kasih Kerajaan. :)
Admin: Chekumbo


Saturday 21 April 2012

"Lelaki" Pertama Mengandung di Dunia Umum Berpisah Dengan Isteri


HONOLULU: “Lelaki” pertama di dunia yang berjaya melahirkan zuriat sendiri semalam mengumumkan dia kini berpisah daripada isterinya.

Thomas Beatie mengambil keputusan meninggalkan pasangannya, Nancy, selepas sembilan tahun hidup bersama.

Pengakuan Beatie, 38, dibuat ketika dia diwawancara sebuah program bual bicara perubatan, The Doctors, yang akan ditayangkan di Amerika Syarikat.

Kata Beatie, seperti perkahwinan lain, mereka melalui detik suka dan duka sepanjang sembilan tahun bergelar suami isteri.

“Ketika ini kami melalui detik sukar dan kami tinggal berasingan,” katanya.

Beatie - lahir sebagai bayi perempuan dan diberi mana Tracy Lagindino - menjadi perhatian apabila menjalani pembedahan menukar jantina menjadi lelaki.

Namun, dia tidak membuang rahimnya dan setakat ini melahirkan tiga anak.

Selepas bertemu Nancy, dia jatuh cinta dan menukar jantina kerana undang-undang Hawaii tidak membenarkan pasangan sejenis berkahwin.

Nancy, 49, mempunyai dua anak hasil perkahwinan terdahulu, tetapi tidak lagi boleh hamil selepas menjalani pembedahan. Justeru, Beatie mengekalkan organ peranakannya dan berhenti mengambil ubat hormon lelaki bagi membolehkan dia hamil.

Baru-baru ini, dia menyempurnakan proses penukaran jantinanya dan menjalani pembedahan terakhir menjadi lelaki.

Bot Laju Josio Racing Team Curi Tumpuan Safari Rakit Baleh-Kapit 2012


TAHNIAH: Johan (lima kanan) bergambar di hadapan bot laju 30HP milik Josio Power Boat Club Kanowit bersama kru-kru Josio Racing Team selepas penyampaian hadiah di Kapit baru-baru ini.

KANOWIT: Bot laju yang baharu dipertaruhkan oleh Josio Racing Team dalam perlumbaan Bot Tunnel kategori 30HP (kuasa kuda) berjaya memenangi tempat kedua sempena Safari Rakit Baleh-Kapit 2012 baru-baru ini.

Nyata pelaburan Josio Racing Team untuk membina bot laju yang baharu berusia dua bulan itu tidak sia-sia apabila muncul naib juara sekali gus membawa pulang hadiah wang tunai RM400 serta piala.

Sebanyak 18 bot laju menyertai perlumbaan bagi kategori Bot Tunnel 30HP yang dilepaskan dalam dua saringan pada pagi 8 April lalu.

Wilson Arnold yang menjadi pemandu bot laju atau ‘jockey’ untuk membawa cabaran Josio Racing Team beraksi dengan baik pada saringan pertama walaupun terpaksa berpuas hati di tangga keempat untuk merebut tempat Top 5 (lima teratas) yang layak ke Final.

Pada saringan pertama iaitu perlumbaan 8 pusingan yang disertai oleh sembilan peserta, Wilson yang pada awalnya berada di tempat kedua selepas pusingan pertama, melakukan kesilapan kerana tersilap laluan atau ‘miss buoy’ sekali gus terpaksa mengulangi pusingannya dan jatuh ke tempat kelapan.

Namun semangat kental dan kemahirannya dalam mengendalikan bot Josio Racing Team nyata menyerlah sekali selepas dia mampu memotong tiga pelumba di depan dan menyelamatkan kedudukannya untuk layak ke final.

Pada perlumbaan final (10 pusingan) yang disertai oleh 10 pelumba, Wilson sekali lagi menjadi tumpuan ratusan penonton dengan aksi hebat untuk memberi saingan sengit kepada pelumba-pelumba daripada pasukan tuan rumah yang handal-handal belaka.

Pada akhir perlumbaan, Wilson hanya berada beberapa saat sahaja di belakang pelumba pertama untuk menamatkan perlumbaan Bot Tunnel 30HP di tempat kedua.

Pengerusi Josio Power Boat Club Kanowit, Johan Umpeng yang ditemui selepas pulang ke Kanowit baru-baru ini turut meluahkan rasa gembiranya selepas berjaya membawa kemenangan di tempat kedua kepada Josio Racing Team.

“Kemenangan tempat kedua ini merupakan kemenangan pertama kami menyertai perlumbaan Bot Tunnel 30HP pada Safari Rakit Baleh-Kapit 2012,” ujarnya.

Menurutnya, ini tidak akan dicapai tanpa sokongan dan bantuan khasnya daripada Datuk Ding Ling Sing, Freehold Harvest Sdn Bhd, Khai Kiong Express, Fei Workshop dan Lang Banda Racing Team dari Kapit serta semangat pasukan yang tinggi ditunjukkan oleh kru-kru Josio Racing Team yang turut terlibat termasuk Pengurus Pasukan Anjan Ngelambai dan Penaung, Inspektor Mohd Razif Mohd Yusuf.

-NAMABERITA.com