Saturday 21 April 2012

Bot Laju Josio Racing Team Curi Tumpuan Safari Rakit Baleh-Kapit 2012


TAHNIAH: Johan (lima kanan) bergambar di hadapan bot laju 30HP milik Josio Power Boat Club Kanowit bersama kru-kru Josio Racing Team selepas penyampaian hadiah di Kapit baru-baru ini.

KANOWIT: Bot laju yang baharu dipertaruhkan oleh Josio Racing Team dalam perlumbaan Bot Tunnel kategori 30HP (kuasa kuda) berjaya memenangi tempat kedua sempena Safari Rakit Baleh-Kapit 2012 baru-baru ini.

Nyata pelaburan Josio Racing Team untuk membina bot laju yang baharu berusia dua bulan itu tidak sia-sia apabila muncul naib juara sekali gus membawa pulang hadiah wang tunai RM400 serta piala.

Sebanyak 18 bot laju menyertai perlumbaan bagi kategori Bot Tunnel 30HP yang dilepaskan dalam dua saringan pada pagi 8 April lalu.

Wilson Arnold yang menjadi pemandu bot laju atau ‘jockey’ untuk membawa cabaran Josio Racing Team beraksi dengan baik pada saringan pertama walaupun terpaksa berpuas hati di tangga keempat untuk merebut tempat Top 5 (lima teratas) yang layak ke Final.

Pada saringan pertama iaitu perlumbaan 8 pusingan yang disertai oleh sembilan peserta, Wilson yang pada awalnya berada di tempat kedua selepas pusingan pertama, melakukan kesilapan kerana tersilap laluan atau ‘miss buoy’ sekali gus terpaksa mengulangi pusingannya dan jatuh ke tempat kelapan.

Namun semangat kental dan kemahirannya dalam mengendalikan bot Josio Racing Team nyata menyerlah sekali selepas dia mampu memotong tiga pelumba di depan dan menyelamatkan kedudukannya untuk layak ke final.

Pada perlumbaan final (10 pusingan) yang disertai oleh 10 pelumba, Wilson sekali lagi menjadi tumpuan ratusan penonton dengan aksi hebat untuk memberi saingan sengit kepada pelumba-pelumba daripada pasukan tuan rumah yang handal-handal belaka.

Pada akhir perlumbaan, Wilson hanya berada beberapa saat sahaja di belakang pelumba pertama untuk menamatkan perlumbaan Bot Tunnel 30HP di tempat kedua.

Pengerusi Josio Power Boat Club Kanowit, Johan Umpeng yang ditemui selepas pulang ke Kanowit baru-baru ini turut meluahkan rasa gembiranya selepas berjaya membawa kemenangan di tempat kedua kepada Josio Racing Team.

“Kemenangan tempat kedua ini merupakan kemenangan pertama kami menyertai perlumbaan Bot Tunnel 30HP pada Safari Rakit Baleh-Kapit 2012,” ujarnya.

Menurutnya, ini tidak akan dicapai tanpa sokongan dan bantuan khasnya daripada Datuk Ding Ling Sing, Freehold Harvest Sdn Bhd, Khai Kiong Express, Fei Workshop dan Lang Banda Racing Team dari Kapit serta semangat pasukan yang tinggi ditunjukkan oleh kru-kru Josio Racing Team yang turut terlibat termasuk Pengurus Pasukan Anjan Ngelambai dan Penaung, Inspektor Mohd Razif Mohd Yusuf.

-NAMABERITA.com

No comments:

Post a Comment