Sunday, 15 April 2012

Kisah si Tanggang

Si Tanggang dilahirkan di kalangan keluarga miskin yang tinggal di pinggir hutan, ada yang kata daripada keluarga orang asli. Si Talang dan Si Deruma merupakan bapa dan ibu kepada Si Tanggang. Mereka hidup sebagai keluarga nelayan di tepi pantai (dalam sesetengah versi: sungai).

Si Tanggang merupakan seorang kanak-kanak yang bercita-cita tinggi. Dia selalu berkhayal untuk menjadi kaya dan terkenal. Akan tetapi, keadaan hidupnya yang serba kekurangan dan ketiadaan peluang menjadi penghalang kepada cita-citanya.


Apabila masuk alam remaja, suatu hari Si Tanggang terlihat sebuah kapal besar berlabuh di muara sungai yang berhampiran dengan rumahnya. Si Tanggang pergi mencuba nasib, dia berjumpa dengan nakhoda kapal itu dan meminta untuk dijadikan anak kapalnya. Mulanya nakhoda kapal sangsi atas kebolehan Si Tanggang akan tetapi Beliau bersetuju setelah melihat kecekapan Si Tanggang bersampan tika menuju ke kapal Beliau tadi.
Walaupun Si Talang dan Si Deruma amat keberatan untuk melepaskan Si Tanggang belayar mengikut kapal nakhoda itu, mereka terpaksa mengalah. Si Tanggang berjanji akan kembali ke kampung setelah menjadi kaya.
Tetapi ada pula cerita yang menyebut dia telah ditangkap rombongan pendatang yang kemudian membawanya belayar ke negeri lain.

Apapun, anak muda ini sangat rajin, pintar serta pandai menyesuaikan diri dengan keadaan. Si Tanggang melakukan apa sahaja kerja yang diperintahkan oleh Nakhoda. Nakhoda amat suka dengannya kerana dia rajin bekerja. Lalu, Si Tanggang pun diambil sebagai anak angkat. Apabila Nakhoda menjadi uzur, maka Si Tanggang dilantik menjadi nakhoda baru. Dia dipanggil "Nakhoda Tanggang".


Si Tanggang memiliki kecekapan dalam berniaga. Dia menjadi kaya raya dan namanya menjadi sangat terkenal hingga sampai ke telinga Sultan lalu dijemput ke istana. Tidak lama selepas itu Si Tanggang berkahwin dengan beberapa orang isteri (menurut satu riwayat, tiga orang) dan isteri nombor tiga adalah seorang puteri raja.


Pada suatu hari Si Tanggang telah keluar belayar membawa ketiga-tiga isterinya berjalan. Kebetulan dan tanpa disedari dia telah singgah di kampung halaman tempat asal-usulnya. Dipendekkan cerita, ibu-bapanya yang telah lama tidak ditemui mendapat tahu tentang kedatangan seorang saudagar yang memiliki ciri-ciri anak mereka yang hilang lalu pergi menyiasat. Setelah pasti itulah Si Tanggang, mereka cuba merapatinya dengan membawa makanan hutan kegemarannya semasa kecil dahulu.
Sebenarnya Si Tanggang sedar bahawa orang yang datang itu adalah ibu-bapa kandung yang telah membesarkannya dahulu tetapi beliau terasa malu hendak mengaku di hadapan orang-ramai terutama para isterinya yang cantik rupawan lagi bangsawan.

Apapun, menurut ceritanya, isteri ketiga yang merupakan seorang puteri raja telah menyuruhnya menerima kedua orang tua yang datang itu. Katanya, apa salah mengaku ibu bapa kandung sendiri tak kiralah seburuk mana pun rupa mereka.

Rupa-rupanya kata-kata ini telah membuat Si Tanggang terasa lebih malu dan tersinggung. Beliau mula mengeluarkan kata-kata kesat dan sumpah-seranah menyuruh orang tua itu pergi. Dalam keadaan hati hancur luluh dihina begitulah si ibu lalu menadah tangan kepada Ilahi seraya berdoa..









"kalau betullah pemuda di hadapannya adalah Si Tanggang yang pernah dikandungnya selama 9 bulan lebih, maka buktikanlah dengan menukarkan segalanya menjadi batu."

Tiba-tiba petir berdentum dan angin bertiup kencang. Kapal Si Tanggang terumbang-ambing akibat air yang bergelora. Ketika itulah, Si Tanggang berasa kesal. Dia sedar Tuhan telah memperkenankan doa ibunya. Dia akan menerima balasannya kerana telah menderhaka.

Akhirnya, dia berteriak kepada ibunya supaya diampun. Akan tetapi, penyesalannya sudah tidak berguna lagi. Kapalnya pecah akibat dipukul oleh ombak yang kuat.



Apabila ribut reda, Si Tanggang, isterinya, kapalnya, dan semua anak kapalnya telah bertukar menjadi batu.

No comments:

Post a Comment