TAHNIAH: Johan (lima kanan) bergambar di
hadapan bot laju 30HP milik Josio Power Boat Club Kanowit bersama kru-kru Josio Racing Team selepas penyampaian hadiah
di Kapit baru-baru ini.
KANOWIT: Bot laju yang baharu
dipertaruhkan oleh Josio Racing Team dalam perlumbaan Bot Tunnel
kategori 30HP (kuasa kuda) berjaya memenangi tempat kedua sempena
Safari Rakit Baleh-Kapit 2012 baru-baru ini.
Nyata pelaburan Josio Racing Team
untuk membina bot laju yang baharu berusia dua bulan itu tidak sia-sia apabila
muncul naib juara sekali gus membawa pulang hadiah wang tunai RM400 serta
piala.
Sebanyak 18 bot laju menyertai
perlumbaan bagi kategori Bot Tunnel 30HP yang dilepaskan dalam dua saringan
pada pagi 8 April lalu.
Wilson Arnold yang menjadi pemandu
bot laju atau ‘jockey’ untuk membawa cabaran Josio Racing Team beraksi dengan
baik pada saringan pertama walaupun terpaksa berpuas hati di tangga keempat
untuk merebut tempat Top 5 (lima teratas) yang layak ke Final.
Pada saringan pertama iaitu
perlumbaan 8 pusingan yang disertai oleh sembilan peserta, Wilson yang pada
awalnya berada di tempat kedua selepas pusingan pertama, melakukan kesilapan
kerana tersilap laluan atau ‘miss buoy’ sekali gus terpaksa mengulangi
pusingannya dan jatuh ke tempat kelapan.
Namun semangat kental dan
kemahirannya dalam mengendalikan bot Josio Racing Team nyata menyerlah sekali
selepas dia mampu memotong tiga pelumba di depan dan menyelamatkan kedudukannya
untuk layak ke final.
Pada perlumbaan final (10 pusingan)
yang disertai oleh 10 pelumba, Wilson sekali lagi menjadi tumpuan ratusan
penonton dengan aksi hebat untuk memberi saingan sengit kepada pelumba-pelumba
daripada pasukan tuan rumah yang handal-handal belaka.
Pada akhir perlumbaan, Wilson hanya
berada beberapa saat sahaja di belakang pelumba pertama untuk menamatkan
perlumbaan Bot Tunnel 30HP di tempat kedua.
Pengerusi Josio Power Boat Club
Kanowit, Johan Umpeng yang ditemui selepas pulang ke Kanowit baru-baru ini
turut meluahkan rasa gembiranya selepas berjaya membawa kemenangan di tempat
kedua kepada Josio Racing Team.
“Kemenangan tempat kedua ini
merupakan kemenangan pertama kami menyertai perlumbaan Bot Tunnel 30HP pada
Safari Rakit Baleh-Kapit 2012,” ujarnya.
Menurutnya, ini tidak akan dicapai
tanpa sokongan dan bantuan khasnya daripada Datuk Ding Ling Sing, Freehold
Harvest Sdn Bhd, Khai Kiong Express, Fei Workshop dan Lang Banda Racing Team
dari Kapit serta semangat pasukan yang tinggi ditunjukkan oleh kru-kru Josio
Racing Team yang turut terlibat termasuk Pengurus Pasukan Anjan Ngelambai dan Penaung,
Inspektor Mohd Razif Mohd Yusuf.
-NAMABERITA.com
No comments:
Post a Comment