PELABUHAN KLANG: Pelakon Lisa Surihani
mengakui kerjaya sebagai guru pada masa kini berdepan dengan cabaran berganda
jika dibandingkan dengan pengalamannya yang pernah menjadi seorang guru
sandaran, sembilan tahun lepas.
Beliau dan suaminya, penyanyi dan pengarah filem
Yusry Abdul Halim merupakan antara selebriti yang dipilih untuk menjayakan
program 'Teach For Malaysia (TFM) Week' di mana mereka memainkan peranan
sebagai guru di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Pendamaran Jaya di sini, Isnin.
Lisa berkata pengalamannya mengajar di sekolah
itu membuatkan beliau lebih menghormati profesion guru.
"Pengalaman saya hari ini memang jelas
membuktikan bahawa bukan senang untuk jadi seorang guru.
Cabarannya bertambah mengikut peredaran masa terutamanya
dari aspek menarik perhatian dan tumpuan pelajar.
"Saya mengalu-alukan rakyat Malaysia
menyokong dan mengambil bahagian dalam program TFM ini," katanya dalam
sidang media di sini, Isnin.
Lisa dan Yusry masing-masing meluangkan masa
selama sejam berada di dua buah kelas tingkatan satu di mana Lisa mengajar
subjek Geografi manakala Yusry mengajar subjek Bahasa Inggeris.
Selain kedua-dua artis itu, mereka yang mengambil
bahagian dalam program anjuran TFM yang bermula hari ini sehingga 20 April ini
mewakili sektor perniagaan, kewangan, perkhidmatan awam, pendidikan dan
hiburan.
Mereka dijadualkan mengajar di sekolah kawasan
Kuala Langat, Klang, Kuala Selangor, Petaling Perdana dan Hulu Langat di
Selangor; Sentul dan Keramat di Kuala Lumpur; dan Tampin, Jelebu serta Kuala
Pilah di Negeri Sembilan.
TFM adalah sebuah badan bebas bukan mencari
keuntungan yang menyenaraikan bakal pemimpin masa depan Malaysia paling
menyerlah dalam misinya untuk menghapuskan keadaan tidak saksama dalam bidang
pendidikan.
Sejak Januari 2012, kohort pertamanya yang
terdiri daripada 50 felo, menjadi pengajar di sekolah berkeperluan tinggi di
Kuala Lumpur, Selangor dan Negeri Sembilan.
No comments:
Post a Comment